NIEI di Permatang Pauh

17 08 2008

Saya dan teman-teman telah berada di Permatang Pauh semenjak semalam. Kami dari National Institute for Electoral Integrity (NIEI) akan memantau proses pilihanraya kecil di Permatang Pauh bermula dari Hari Penamaan Calon, tempoh berkempen, media milik negara RTM dan hari mengundi.

Untuk updates tentang pemantauan kami di Permatang Pauh, sila lawati http://niei.wordpress.com. Sebarang pengumuman dari NIEI akan dibuat dilaman web rasmi kami di www.niei.org.my.

Jika anda ingin menyumbang sebarang maklumat berkenaan dengan pilihanraya ini, sila email ke niei@niei.org.my.





Kenyataan Media National Institute for Electoral Integrity (NIEI) berkenaan dengan pilihanraya kecil di Permatang Pauh

15 08 2008

14 Ogos 2008

Pilihanraya kecil di Permatang Pauh akan diadakan pada 26 Ogos 2008 berikutan dengan perletakan jawatan Dr. Wan Azizah sebagai ahli parlimen kawasan tersebut pada 31 Julai 2008 yang lalu.  

SPR telah mengumumkan bahawa hari penamaan calon bagi pilihanraya kecil Permatang Pauh ialah pada 16 Ogos sementara hari mengundi ialah pada 26 Ogos 2008. 

NIEI mengecam tindakan SPR meletakkan tarikh mengundi pada 26 Ogos 2008, iaitu pada hari Selasa bersamaan dengan hari kerja kerana ianya bertentangan dengan kempen untuk menggalakkan rakyat mengundi dan terlibat secara aktif didalam pilihanraya.  

 

Berdasarkan pengalaman pilihanraya kecil yang lalu, tidak ada masalah untuk SPR menetapkan hari mengundi pada hari Sabtu dan Ahad, iaitu hari cuti. Contohnya seperti pilihanraya kecil di Batu Talam yang diadakan pada hari Ahad (28 Januari 2007) dan Ijok yang diadakan pada hari Sabtu (28 April 2007). 

NIEI mentafsirkan bahawa SPR mempunyai niat jahat untuk mensabotaj pihak-pihak tertentu yang terlibat dengan pilihanraya kecil ini untuk mengurangkan peratusan pengundi dengan meletakkan hari mengundi pada hari Selasa, iaitu pada hari bekerja. 

Ini akan menyukarkan pengundi-pengundi Permatang Pauh yang bekerja di bidang swasta dan juga awam; setakat ini tiada lagi perisytiharan cuti atau pun pemberian tempoh masa bagi mereka keluar dari tempat kerja untuk mengundi. Manakala pengundi yang bekerja di luar Pulau Pinang yang dianggarkan sekitar 1,000 orang, pastinya ramai yang tidak dapat pulang mengundi. 

NIEI akan  menghantar 10 orang pemantau (mobile observers) ke Permatang Pauh untuk memantau perjalanan proses pilihanraya kecil tersebut  bermula  dari hari penamaan calon, tempoh berkempen dan hari mengundi bagi memastikan ianya mencapai standard “adil dan bebas” seperti yang termaktub dalam The Universal Declaration of Human Rights, the ICCPR, and other international instruments establish two essential conditions for democratic elections: (1) universal and equal suffrage, and (2) a secret ballot. 

Selain daripada itu, NIEI juga akan menjadi tuan rumah kepada Asian Network for Free Election (ANFREL) sebuah badan pemantau pilihanraya antarabangsa yang akan menghantar wakil mereka untuk menyaksikan pilihanraya kecil yang berprofil tinggi tersebut. 

NIEI juga telah memohon The Carter Center  sebuah badan yang dipengerusikan oleh bekas presiden Amerika Syarikat, Jimmy Carter untuk menghantar wakil mereka untuk memantau perjalanan pilihanraya kecil di Permatang Pauh dan sedang menunggu pengesahan kehadiran daripada mereka. 

NIEI mendesak SPR agar menjadikan Permatang Pauh sebagai medan untuk menggunakan dakwat kekal yang telah dibeli dengan harga RM 2.4 juta dari India. Penggunaan dakwat kekal ini penting untuk menghilangkan kecurigaan rakyat terhadap dakwaan berlakunya penggundian berulang dan “undi hantu”. 

NIEI menyeru agar semua pihak yang bertanding dalam pilihanraya kecil ini menghormati hak rakyat untuk mendapatkan pilihanraya yang aman, bebas dan adil. 

NIEI menggesa media arus perdana terutamanya RTM yang dimiliki oleh negara agar bersifat neutral dan memberikan laporan yang adil kepada semua pihak yang bertanding dalam pilihanraya kecil ini. 

Terima kasih,   

 

Amin Iskandar 

Pengarah Eksekutif, NIEI 

Untuk sebarang pertanyaan, sila email kepadaniei@niei.org.my dan amin.iskandar@gmail.com. 

National Institute for Electoral Integrity (NIEI) National Institute for Electoral Integrity (NIEI) merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang didirikan pada tahun 1999. 

Di peringkat awal, NIEI berdiri secara tidak formal dan bergiat aktif dalam usaha untuk memartabatkan demokrasi tulen dan pilihanraya bebas dan adil di Malaysia. 

Usaha untuk mendaftarkan NIEI telah mengambil masa hampir 10 tahun dan pada tahun 2007, NIEI telah didaftarkan secara rasminya. 

Di Malaysia, NIEI telah memantau perjalanan pilihanraya umum pada tahun 1999, 2004 dan 2008. Selain daripada itu, NIEI juga menjalankan program “Latihan Pendidikan Pengundi” di Sabah dan Sarawak. 

NIEI adalah anggota kepada Asian Network for Free Election (ANFREL), sebuah NGO antarabangsa  yang berpengkalan di Bangkok, Thailand. NIEI telah bersama ANFREL untuk memantau perjalanan pilihanraya di negara-negara Asia seperti Afghanistan, Pakistan, Thailand, Sri Lanka, Taiwan, Indonesia, Filipina, Aceh, Korea Selatan dan Nepal. 





POYOO BETUL CHERUK TOK KUN - Hishamuddin Rais

13 08 2008

‘SELAMA 10 tahun saya berjuang untuk manusia bernama Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sepanjang tempoh itu juga saya keluar masuk lokap demi mempertahankan perjuangan beliau.

”Namun setelah beliau dibebaskan, tidak sekalipun beliau menghubungi saya dan bertanya sama ada saya makan atau tidak, bagaimana keadaan keluarga saya dan bagaimana nasib saya akibat bisness yang telah lingkup,” demikian luahan kecewa Abdul Ghani Haroon, bekas ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Di Petik dari Utusan Malaysia 3.Ogos 2008-08-06

Mamat dari Cheruk Tok Kon ini memang cukup poyo. Ini bukan bukan fitnah dari Saiful atau dari Uncle Pet. Ini telah terbukti saheh. Ini dari mulut Abdul Ghani Haroon. Siapa yang tak faham makna poyo sila tanya Mat Rempit. Kalau masih ada yang tidak tahu apakah bendanya Mat Rempit ini maka saya cadangkan mereka berhijrah ke Dacca atau ke Nepal dan jangan pulang ke Malaysia sehingga faham makna poyo.

Bila saya terbaca berita tentang Abdul Ghani Haroon ini, hati saya berasa pedih lagi pilu. Jiwa saya mendayu-dayu. Air mata saya berderai-derai keluar macam biji-biji mutiara di leher Datin Rosmah.Nasib baik saya tidak pernah memakai seluar dalam kalau tidak ehem saya pun akan menangis sama.

Baca baki entri ini »





BENDERA - Yunus Ali

13 08 2008

Sebenarnya, kalau nak menacari asal usul bendera Malaysia ni, banyak juga ceritanya. Betul atau pun tidak wallahualam bisssawab. Kenalah periksa sendiri fakta sejarahnya. Yang tercatat kat bawah ni, kalau tak setuju dan tak senang apabila dibaca, anggapkan sajalah sebagai cerita dongeng tok-nenek kita.

Perkataan BENDERA ini pun sebenarnya bukannya perkataan Melayu, ia dipinjam, tapi tak dipulangkan kembali, dari bahasa Sanskrit. Zaman dulu-dulu, rantau Melayu ini beragama Hindu dan Buddha, tamadun Melayu dahulukala pun banyak dipengaruhi oeh agama itu dan tamaddun dari India, termasuklah bahasanya sekali: istana, raja, neraka, syorga dan lain-lain, termasuklah BENDERA.

Kalau dulu-dulu, lebih dari 30-40 tahun dulu, bila orang Melayu mendirikan rumah, pasak tiang di atas dan di bawahnya akan lapikkan dengan dua helai kain, lapis atas warna merah dan warna putih pada lapis bawahnya.

Baca baki entri ini »





Minyak dan air tak boleh bercampur - Rahmat Haron

12 08 2008

Inilah yang terjadi jika kita lupa. Lupa dengan segala apa yang terjadi selama ini. Kekejaman dan kezaliman Bebal Nasional semudahnya luput dengan alasan-alasan lapuk ketuanan Melayu dan Islam sebagai isu sensitif. Insiden di Majlis Peguam baru-baru ini cukup membuatkan saya mual dan bersedih.

Ke mana misalnya Teras, Pekida dan GPMS pada 7 RabbiulAwwal 1406 Hijrah sewaktu terjadinya – gelap hitam – peristiwa Memali? Kenapa keberanian mereka tidak sampai membantah habis-habisan pembunuhan beramai-ramai tersebut yang sehingga ke hari ini belum mendapat keadilan yang sewajarnya lagi. Ke mana Teras, Pekida dan GPMS dalam isu fitnah Anwar Ibrahim? Siapa Teras, Pekida dan GPMS dalam pilihanraya umum lalu dan sebelum-sebelumnya– jika tidak lain menjadi perkakas/ pencacai/barua United Malay National Organization.

Kenapalah kita yang bencikan kezaliman (baca Bebal Nasional) akhirnya lupa siapa mereka yang kononnya mahu membela Islam itu. Ini tidak lain dan tidak bukan merupakan taktik kotor kerajaan Bodoh Nasional mahu memperbodohkan rakyat jelata agar bergaduh sesama sendiri. Taktik lama - pecah dan perintah.

Semua kita janganlah terlalu mengagung-agungkan perlembagaan yang dikarang hakim penjajah Inggeris Lord Reid itu. Semua kita perlu ingat Malaysia adalah gagasan asing Amerika Syarikat (AS) yang didokong orang seperti Mahathir Mohamad yang mengakui AS adalah, “liberator” pada waktu itu.

Ini boleh dirujuk dalam laman webnya sendiri, kata Mahathir “Yet at that time we looked up to America as a friend and liberator.” Kalau tidak masakan profesor undang-undang Havard, Rupert Emerson telah menulis dan menerbitkan buku yang berjudul, Malaysia: Direct and Indirect rule pada tahun 1937 lagi. Tahun 1937 disaat warga di tanah ini belum tahu apa itu Malaysia lagi. Malaysia hanya dibentuk tanggal 16 September 1963. Pada tahun-tahun 1960an, walhal ratusan orang telah ditangkap dibawah ISA kerana menentang gagasan Malaysia. Seperti Said Zahari yang ditahan tanpa bicara selama 17 tahun di Singapura oleh Lee Kuan Yew kerana berpendirian Malaysia adalah gagasan AS sebagai penjajahan bentuk baru.

Jangan lupa kena ingat, setelah perang dunia pertama telah ada pakatan PUTERA-AMCJA yang cukup kuat membawa gagasan Perlembagaan Rakyat dengan kata Melayu sebagai konsep tanah air dan ketuanan rakyat. Seperti kata arwah Rustam A. Sani, perlu dibezakan bangsa sebagai “race” dan bangsa sebagai “nation” (rupa bangsa). Putera-AMCJA dipengerusikan Dr. Burhanudin Al-Helmy terdiri dari gabungan pertubuhan-pertubuhan rakyat dan parti-parti politik seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya, API, AWAS, Malayan Democratic Union dan Hizbul Muslimin.

Kenapalah tidak faham-faham lagi minyak dan air tidak boleh bergaul dan bercampur menjadi satu sebatian. Majlis Peguam pula sama bodohnya, mendorong kemarahan dengan meletakkan para panelis yang terdiri dari bukan Islam. BN dan Umno memang menanti-nantikan peluang seperti ini untuk memecahkan PAS dari Pakatan Rakyat. Isu-isu agama terbukti berkesan, sejak zaman penjajah Inggeris lagi untuk memecah-belahkan perpaduan rakyat berbilang budaya, agama dan kaum. JANGAN LUPA KENA INGAT-RAKYAT BERSATU TAK AKAN TERKALAHKAN!!!

Jangan lupa kena ingat: bacalah buku dan tulisan-tulisan Allahyarham pemikir Rustam A. Sani.

Rahmat Haron merupakan seorang penulis bebas, aktivis dan aktivis seni.





Amaran kepada Musa Hassan: Jangan salahguna kuasa polis di Permatang Pauh

9 08 2008

Akhbar Sinar Harian hari ini melaporkan, amaran Musa Hassan kepada semua pihak yang terlibat dalam pilihanraya kecil di Permatang Pauh agar tidak melanggar undang-undang.

Bagus arahan Ketua Polis Negara itu, rakyat akan patuhi.

Akan tetapi, rakyat juga ingin memberi amaran kepada Ketua Polis Negara agar polis jangan berat sebelah.

Polis jangan bekerja untuk Barisan Nasional seperti apa yang berlaku dalam pilihanraya-pilihanraya sebelum ini.

Ingat! Kami boleh seret Musa Hassan ke Mahkamah Pengadilan Antarabangsa!!!





Penarik Beca bebas…

8 08 2008

Bakar Haq a.k.a Penarik Beca telah pun dibebaskan lebih kurang jam 5.40 petang tadi. Penulis blog tersebut ditahan oleh polis oleh kerana menyiarkan artikel yang mempamerkan logo polis yang diubahsuai.

Bakar tetap mempertahankan isi kandungan tulisan tersebut akan tetapi memohon maaf kepada kepada seluruh anggota P.D.R.M jika logo tersebut menyinggung mereka.

Akan tetapi, polis tetap menahan “laptop” nya dan ini menyebabkan Bakar tidak dapat membuang logo tersebut daripada blognya.

Untuk berita berkaitan, sila klik disini.





Penarik Beca direman sehari lagi….

7 08 2008

Tadi bermula jam dua petang, beberapa orang penulis blog dan teman-teman Bakar a.k.a Penarik Beca berkumpul dihadapan pintu masuk Ibu Pejabar Polis Bahagian Jenayah Perdagangan. Hujan yang lebat tidak menghalang kami untuk terus berhimpun untuk menentang penangkapan Bakar.

Kami diberitahu bahawa Bakaq ditahan pada pukul 11 malam (6 Ogos) oleh lima orang polis. Ketika Penarik Beca bertanya tentang waran tangkap, dengan angkuhnya polis berkata, “polis Malaysia tidak perlukan waran untuk menangkap sesiapa”.

Diantara yang hadir tadi ialah, Rahmat Haron, Nora, Nathaniel Tan, Bernard Khoo, Wae Joe, Zain, Hasbullah Pit, Irwan, Mahaguru 58, Munirah dan ramai lagi.

Pada jam empat petang, isteri Bakaq, Kak Salwa memberitahu yang Bakaq menghubunginya. Bakaq memaklumkan yang beliau dibawa ke Mahkamah Jalan Duta pada pukul 3.30 petang dan akan direman selama sehari lagi.

Semoga semangat Bakaq akan terus kuat untuk melawan kezaliman pemerintah ini. Kami bersamamu Bakaq!!!

Gambar-gambar diambil dari Blog Nora.

Berkaitan:

1) Hasutan: Penulis blog ditahan polis





Blogger Penarik Beca ditahan polis

7 08 2008

Updates:

Bakar di bawa ke Pejabat Jenayah Komersil, Bukit Aman menurut blogger Jiwo Kelate yang berhubung dengan keluarga beliau.

Hari ini jam 2 petang, kita akan berkumpul di hadapan Pejabat Jenayah Komersil, Bukit Aman (berhampiran dengan Bank Negara) untuk menyatakan sokongan kepada Penarik Beca. Semua dijemput hadir. Sebarkan.

Posting Asal:

Blogger yang menggendalikan blog Penarik Beca, ditahan polis malam tadi.

Menurut isterinya, empat orang polis datang kerumah mereka dan menahan Bakar (nama sebenar Penarik Beca) bersama-sama dengan telefon bimbit dan laptopnya.

Hanifah Maidin, peguam yang akan mewakili Bakar menghubungi polis sebentar tadi dan disahkan bahawa Bakar a.k.a Penarik Beca ditahan dibawah Akta Hasutan.

Kepada rakan-rakan blogger dan pembaca blog, marilah kita menyatakan sokongan kepada Bakar dan tidak akan tunduk diatas segala tekanan yang diberikan oleh pemerintah terhadap blogger!





Anwar akan didakwa esok, zaman gelap di Malaysia bermula

6 08 2008

Updates:

Anwar dituduh di Mahkamah atas tuduhan meliwat Saiful. Beliau tidak mengaku berslah dan dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM 20,000.

Posting Asal:

Sebaik sahaja SPR mengumumkan tarikh pilihanraya kecil Permatang Pauh yang dijadualkan pada 26 Ogos, polis mendatangi rumah Anwar Ibrahim dan memberi perintah agar Penasihat Parti Keadilan Rakyat itu ke mahkamah esok.

Jelaslah Anwar akan didakwa esok dengan pertuduhan meliwat Saiful secara paksa.Jika dituduh meliwat secara paksa, Anwar tidak boleh dijamin.

Nampaknya Anwar akan bertanding pilihanraya dari dalam penjara.

Dalam sidang akhbarnya petang tadi, Anwar mendakwa terdapat “golongan yang dekat” dengan Pak Lah yang bersungguh-sungguh untuk memastikan dirinya didakwa tidak kira dengan apa kes sekalipun.

Tekaan saya, sudah pasti golongan dekat dengan Pak Lah yang dimaksudkan oleh Anwar itu adalah Kamaluddin Abdullah, Khairy Jamaluddin dan “budak-budak tingkat empat”.

Mereka-mereka ini yang mahukan Pak Lah terus berkuasa.Mereka tahu hanya Anwar yang mengancam Pak Lah sekarang. Najib telah senyap berikutan dengan “kes Altantuya” yang dijadikan senjata oleh “budak-budak tingkat empat”untuk mengugut Timbalan Perdana Menteri itu.

Bermulalah zaman gelap di Malaysia.Hanya penyatuan rakyat boleh menyelamatkan Malaysia.

Semua golongan tidak kira apa ideologi politik harus bersatu untuk menggulingkan Pak Lah, anak dan menantunya daripada terus menghancurkan negara.

Kita masih punyai jalan. Jalan yang terbaik ialah kembali kejalan raya.Kita pernah membuktikan tahun lalu dalam Perhimpunan BERSIH. Sebanyak manapun “roadblock” tidak akan mampu menghalang kekuatan rakyat!!!